Di Jalan Seni Ini Aku Mengenal
Tahun 1994 aku bergelar penganggur. buat pertama kalinya dalam sejarah perjalanan hidup ini. Perkataan ‘Penganggur’ ini juga buat pertama kalinya aku dengar adalah dari lagu nyanyian Sudirman Haji Arshad ‘Aku Penganggur” melalui corong-corong radio sejak umur aku 6 tahun. Beliau adalah hero aku, seorang ‘penyanyi rakyat’ yang popular. Orang-orang cerdik gelarkan beliau ‘A Singing Lawyer’. Dengar ceritanya beliau yang mahukan lirik-lirik lagu berkaitan “realiti kehidupan rakyat biasa” di jadikan lagu pada hampir setiap albumnya.
Sebenarnya aku baru sahaja menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. Aku sendiri yang tamatkannya. Tiada lagi keberahian untuk duduk di Dewan Kuliah serta menyertai aktiviti-aktiviti Ko-Kurikulum “katak hijau”. Apa aku nak jadi selepas ini? Kerja? Pekerjaan pertama aku adalah Pump Attendant di Stesen Minyak Petronas Jalan Teluk Sisek Kuantan pada tahun 1991 iaitu selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pengajian Malaysia.
Lama juga aku berjaya menghayati lagu ‘Aku Penganggur”..ada la dalam setahun sehinggalah kawan baik aku Fazlanuddin Hanur memberitahu tentang iklan di surat khabar mengenai kerja kosong sebagai “Junior Animator”. Kami sebaya, Fazlan adalah pengumpul tegar Majalah Gila-Gila. Dari beliau aku kenal Ujang dengan karya ‘Aku Budak Minang’.
“Jom kita pergi interview” kata Fazlan. Ayah Fazlan, Haji Harith Liki adalah bekas Nazir Sekolah yang selalu mengajar kelas Tafsir al-Quran di Masjid kawasan perumahan kami. Haji Harith memang mahir berbahasa Inggeris, jadi bagi aku sebagai peminat muzik rock Iron Maiden yang lirik lagunya dah tentu bahasa omputih tertarik dengan cara penyampaian kelas Tafsir Haji Harith. Ungkapan ‘Gog and Magog” sesekali keluar dari mulut beliau berbeza dengan Ustaz di sekolah aku yang menggunakan perkataan ‘Ya’jud dan Ma’jud” kekadang seperti beliau membuka Quran, Bible dan Injil dalam satu masa. Aku tak pernah “missed’ kelas Tafsir beliau.
Kartunis UJANG akan datang masa interview nanti. “Wah ! Ini sudah menarik…tak berjaya pun takper janji boleh jumpa Superstar” bisik hati aku. Fazlan sudah tentu sangat teruja dan kami pun pergilah interview di Hotel Hyatt Kuantan. Disini buat pertama kali aku bertemu rakan animator aku yang sekarang sudah terkenal sebagai Street Artist Caricaturist iaitu Faridzul Narami atau dikenali sebagai Ah Kim.
“Starstruck” aku teruja dengan persona penampilan UJANG…beliau memang ada aura tersendiri. Kami disuruh melukis watak-watak kartun ciptaan terbaru UJANG “Usop Sontorian” untuk di animasikan. Buat pertama kali aku melukis 8 keping lukisan yang berpandukan pada anatomi pergerakan berjalan manusia.
Kebiasaannya aku hanya melihat di kaca Televisyen watak kartun dalam bentuk animasi. Kebanyakkannya animasi dari Walt Disney, Hanna Barbera dan dari Jepun. Aku membesar dengan Mickey Mouse, Flinstones, Popeye, Tom and Jerry, Road Runner, Tempe Asuka dan lain-lain. Kalau animasi tempatan hanyalah iklan Nyamuk Aedes, Dadah Merbahaya, Keselamatan Tong Gas dan yang paling epik adalah Sang Kancil bersiri terbitan Filem Negara Malaysia.
Untuk artikel setetusnya aku akan cerita detik-detik interview dan selepas menerima keputusan untuk aku lapor diri di Tingkat 15 Bangunan Berbata Merah yang lebih dikenali sebagai Plaza Pengkalan Jalan Ipoh Kuala Lumpur.
Comments
Post a Comment