TRIBUTE TO P.RAMLEE - Pencak Terakhir I & II

Mengapa namanya Pencak Terakhir dan apa kaitannya dengan TRIBUTE TO P.RAMLEE? Maksud perkataan Pencak menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia adalah:
1) Kamus Pelajar Edisi Kedua
permainan mempertahankan diri dengan kepandaian menangkis atau mengelak: ~  silat bermacam-macam cara mempertahankan diri dan menyerang lawan. berpencak bermain pencak; bersilat, memencak-mencak sangat marah seperti hendak mengamuk.
2) Kamus Dewan Edisi Keempat
kepandaian menangkis (mengelak dll) untuk mempertahankan diri, silat; ~ silat permainan menangkis (mengelak) dengan menggunakan senjata untuk mempertahankan diri; berpencak, memencak bermain pencak, bersilat: pendekar leka memencak;memencak-mencak terlalu marah (panas hati).
3) Kamus Pelajar
permainan mempertahankan diri dengan kepandaian menangkis atau mengelak: ~ silat bermacam-macam cara mempertahankan diri dan menyerang lawan, berpencak bermain pencak; bersilat. memencak-mencak sangat marah seperti hendak mengamuk.
Memilih dua frame shot pertarungan drama pendek 'Damaq' dari filem Ragam P.Ramlee adalah manifestasi kepada perkataan 'Pencak' tersebut. Mengapa pula menggunakan perkataan 'Terakhir' ?


Untuk lebih memahami, mari kita baca sinoposis drama tersebut.

Di sebuah kampung, tinggal Kenanga bersama abangnya, Anggerik. Ibubapa mereka telah lama meninggal dunia. Anggerik seorang peniaga yang sering berdagang ke serata pekan dan negeri. Oleh kerana bimbangkan keselamatan adiknya semasa ketiadaannya, Anggerik telah merancang untuk menjodohkan Kenanga dengan Damaq, seorang perwira muda di kampung tersebut. Oleh kerana kejelitaan Kenanga, ramai pemuda berangan untuk menjadi pasangannya. Pada suatu hari, seorang pemuda bernama Teruna datang ke rumah Anggerik dengan harapan untuk meminang Kenanga. Oleh kerana janjinya pada Damaq, Anggerik telah menolak hajat Teruna yang merupakan adik kepada seorang pendekar bernama Bujang. Teruna menaruh dendam untuk merampas Kenanga dengan menghapuskan Damaq. Malangnya, Damaq telah menamatkan riwayat Teruna.  Pendekar Bujang yang handal bersumpah untuk membela kematian adiknya..

Sinopsis diambil dari : https://ms.wikipedia.org/wiki/Ragam_P._Ramlee

 

Damaq lari meninggalkan kampung sementara Pendekar Bujang menabur fitnah kononya Damaq telah mati ditangannya. Akibatnya Anggerik terpaksa membuat keputusan mengahwinkan Kenanga dengan Gegala iaitu abang kepada Damaq. Keadaan bertambah sulit apabila Anggerik yang pergi berdagang terjumpa Damaq yang masih hidup. Setelah mendengar berita dari Anggerik, Damaq mengambil keputusan pulang ke kampung untuk membuat perhitungan terakhir dengan Pendekar Bujang. Ya..perkataan 'terakhir' inilah digunakan untuk tajuk 'Pencak Terakhir'.

  
Mengapa tidak memilih filem lain dari filem-filem P.Ramlee untuk menafsirkan erti 'Pencak'? Ini kerana drama 'Damaq' mempunyai kekuatan akal budi yang tinggi sebagai seorang jatidiri Melayu.
1) Bahasa halus yang digunakan, baik dari segi pertuturan dan perlambangan visual.
2) Jiwa Besar seorang yang bernama Damaq. Pengunduran dari kampung serta menerima takdir dengan redha.
3) Bijaksana seorang yang bernama Anggerik. Mengambil keputusan mengahwinkan adiknya dengan abang Damaq, Gegala.
4) Sikap Bertanggungjawab seorang bernama Gegala. Menerima tanggungjawab menjaga Kenanga dan zuriat keturunan.
5) Sifat penyayang seorang bernama Kenanga. Mengambil keputusan untuk setia bersama anak dan suaminya.
6) Kehendak yang tinggi dan bersungguh-sungguh seorang bernama Teruna. Sanggup melakukan apa saja demi mencapai cita-cita.
7) Sikap tipu helah seorang pendekar bernama Bujang yang menuntut bela diatas kematian adiknya. 


Mengapa memilih dua frame dari shot pertarungan itu? Ini alasannya, gaya aksi Damaq dengan tangan kosong membuka gelanggang tempur menunjukkan beliau mempunyai keberanian yang  lebih tinggi berbanding Pendekar Bujang yang sudah menghunus keris dan mahu menikam dari arah belakang. Disini menyerlahkan kepada penonton bahawa tanda-tanda kekalahan Pendekar Bujang. Sifat kemarahan Damaq atau amuknya beliau adalah berhemah, ada tertibnya, ini mengukuhkan perkataan 'memencak-mencak' dengan visual yang sangat bijaksana.


Sikap tipu-helah Pendekar Bujang yang berlandaskan rasa dendam bakal memakan dirinya. Kependekarannya sudah berakhir. Beliau terpaksa menerima kenyataan bahawa pencak ini adalah yang terakhir baginya, walaubagaimanapun tanpa disedari oleh Damaq bahawa ini juga adalah pencak yang terakhir bagi beliau di kampungnya sendiri. Kedua-duanya menerima takdir sebuah tragedi.

Akan Datang dalam Entri:
Nilai Estetika 'Damaq'




Comments

Popular Posts